Kamis, 15 September 2016

Tema dan perofesional

A.        TEMA DAN PERSOALAN

TEMA

1.         Tema ialah idea dasar atau persoalan pokok yang diungkapkan oleh pengkarya, sama ada cerpenis, novelis, penyair, atau penulis skrip drama bagi mendasari karyanya.

2.         Dalam upaya mengumpulkan, memilih, dan menyusun bahan-bahan bagi sesuatu karya, temalah yang menjadi panduan kepada pengkarya.

3.         Tema sesuatu karya boleh tidak dinyatakan secara langsung dengan jelas tetapi dinyatakan melalui unsur-unsur yang membentuk karya itu.

4.         Itulah sebabnya tema sesuatu karya lazimnya dapat diketahui hanya sesudah karya itu dibaca dan dihayati seluruhnya.

5.         Banyak perkara yang boleh dijadikan tema bagi sesuatu karya, misalnya keadilan, perjuangan, sejarah, kemiskinan, kemanusiaan, kehijauan alam, dan lain-lain sebagainya.

PERSOALAN

1.         Persoalan ialah perkara-perkara kecil dalam sesuatu karya yang ada hubungannya dengan tema.

2.         Wujudnya persoalan-persoalan dalam sesuatu karya bertujuan menghidupkan dan memperkukuh tema yang cuba diketengahkan oleh pengkarya.

PEMIKIRAN

1.         Pemikiran membawa maksud yang sama dengan tema dan persoalan.

2.         Walau bagaimanapun, pemikiran lazimnya digunakan dalam genre drama dan puisi.

AMANAT

1.         Amanat yang dikenal juga sebagai pengajaran atau mesej bermaksud perutusan yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca.

2.         Dalam karya sastera tradisional, amanat tersurat dengan jelas kerana disampaikan secara langsung oleh pengarang.  Contohnya  :-

            (a)       Hancur badan dikandung tanah,
                                    Budi yang baik dikenang juga.
(b)          Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
            (c)        Ilmu itulah gemala sakti,
                                    Sinarnya cerah cahaya sejati.

3.         Dalam karya sastera moden, amanat itu tersirat kerana disampaikan secara tidak langsung.

B.        WATAK DAN PERWATAKAN


1.         Watak ialah sesuatu objek atau pelaku, baik manusia mahupun makhluk lain seperti haiwan, tumbuhan, dan sebagainya.

2.         Dalam drama pula, watak ialah pelakon-pelakon yang menggerakkan plot sesuatu drama itu.

3.         Watak inilah yang mengembangkan tema dan persoalan serta plot karya yang menjadi pemikiran pengkarya melalui aksinya, tindakannya dialognya, dan konfliknya.

4.         Sesuatu watak akan diberi sifat-sifat tertentu, termasuk perangai dan pemikiran yang dikenal melalui percakapannya, iaitu dialog disamping perlakuannya, iaitu aksi.

5.         Sifat-sifat yang digambarkan oleh pengkarya pada watak yang diwujudkan inilah yang dikatakan sebagai perwatakan pula.

6.         Sifat-sifat itu antara lain termasuklah yang berupa lahiriah seperti bentuk, paras rupa, dan tingkah laku serta yang berupa jasmaniah, yakni yang berkaitan dengan perasaan, sikap, dan pemikiran.

7.         Biasanya setiap watak yang diwujudkan, baik watak utama mahupun watak pembantu atau watak sampingan diberi sifat-sifat perwatakan yang berbeza dan malah bertentangan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar